25 Januari 2016 - 11:23
ISIS berhasrat serang Malaysia, Najib Tun Razak cemas

Anggota ISIS melabelkan sesiapa sahaja yang menentangnya sebagai Syiah

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Setelah beberapa jam video ugutan ISIS (Negara Islam Iraq dan Syria) terhadap Malaysia beredar dalam internet, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini menyuarakan kembimbangannya kerana ancaman tersebut adalah benar-benar serius.

Beliau berkata demikian setelah pihak polis mendedahkan terdapat sebuah video pertama pengganas ISIS dari Katibah Nusantara yang berbahasa Melayu.

"Ancaman ini benar-benar realiti, dan kerajaan saya memandangnya dengan serius," Najib berkata demikian dalam persidangan esktremisme di Kuala Lumpur sebentar tadi sambil menambah, "Inilah cabaran yang berhadapan dengan kita di seluruh dunia. Kita jauh dari kekebalan terhadap bahaya ini di Malaysia."

ISIS melabelkan penentangnya sebagai Syiah

Dalam masa yang sama, video tersebut turut melabelkan penentangnya sebagai Syiah.

"Mereka yang menamakan kami sebagai Khawarij (ingkar), Daesh (nama lain IS) dan juga sebagai agen Mossad sebenarnya Syiah dan sekutunya," ujar anggota ISIS yang fasih berbahasa Melayu dalam video tersebut.

7 anggota ISIS ditangkap di seluruh Malaysia.


Semalam, pihak polis berkata, mereka telah bertindak menahan tujuh anggota ISIS yang merancang serangan di seluruh negara. Pengganas yang ditangkap membawa peluru, buku jihad, bendera ISIS dan video propaganda.

Sepuluh hari lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan beberapa orang militan yang dipercayai merancang serangan bunuh diri di Kuala Lumpur. Tangkapan ini menjadikan lebih 150 anggota ISIS ditangkap di seluruh negara.

Pada tahun lalu penganalisa politik, Amin Iskandar mendedahkan sikap anti Syiah yang dilancarkan Putrajaya telah menyebabkan rakyat Malaysia menjadi korbannya apabila terlibat dalam perjuangan pengganas ISIS.